17457368_1799357390384753_208843739235498636_n

Life (2017)
[Horror, Sci-Fi, Thriller]
Pengarah: Daniel Espinosa
Tarikh Tayang: 23 Mac 2017
Edaran: Sony Pictures

Kisah 6 angkasawan yang ditugaskan dalam misi menguji spesimen organisma hidup yang diambil dari Marikh. Ryan Reynolds sebagai pomen ISS, Jake Gyllenhaal sebagai doktor kesihatan, Rebecca Fergusson sebagai Pegawai Kuarantin (yang punyai kuasa tertinggi dalam misi ini) serta 3 lagi pelakon lain yang terlibat dalam kancah cemas di angkasa lepas.

Jadi, ini cerita tentang apa?

Ketika ini, manusia bersatu sedunia bersetuju memanjangkan eksplorasi ke angkasa lepas. Kita semakin ego dalam diam, untuk membuktikan eksistensial manusia sebagai pentadbir alam jagat raya.

Kita menganggap manusia sudah cukup hebat.

Spesimen dari Marikh diambil untuk melihat sejarah organisma purba. ‘Ia’ dibawa masuk dan diuji di ISS sebelum dibawa pulang ke bumi. Kita lihat ‘ia’ seperti bahan pameran muzium dan dipermainkan seperti binatang dalam zoo, pada awalnya.

Tanpa menyangka, sebenarnya seawal organism itu dijemput masuk ke kebuk hidup ISS, keenam-enam angkasawan tersebut sudah disumpah malang yang teramat sial. EksistenSial.

Organisma tersebut, bukan lagi gambaran fiksyen ‘alien’ seperti dalam filem di bumi. Savage! Kejam, langsung tiada warisan genetik berperikemanusiaan. Sekarang di depan mata. Benar-benar depan mata. Inilah ‘alien’ sebenar!

Nah! Siapa suruh cari pasal hidupkan semula ‘monster’ yang sudah lama tidur? Siapa suruh cari pasal?

Lampu merah! Darah merah! Cemas! ISS yang terapung di angkasa bertukar menjadi neraka di langit, terasing. Medan sempit tempat bertempur dua spesis makhluk; satu manusia, satu lagi entah apa dia. Menggerunkan.

Ia diberi nama; CALVIN.

Misi para angkasawan ini tergugah apabila Calvin memporak-porandakan keadaan. Mereka ini semuanya adalah saintis. Mereka juga perlu bertindak seperti askar. Demi kelangsungan hidup manusia sejagat, Calvin perlu dihalang daripada jatuh ke bumi. Ada yang perlu berkorban untuk menghalang.

Pengalaman tontonan yang menggerunkan, menaikkan bulu roma dan mengundang carutan.

Biarpun sedikit sebanyak skor muzik mengganggu tontonan, yang tiba-tiba bawakan mood sedih sebelum kita terasa ‘connected’ untuk bersedih. Dan, tak sesuai kebisingan skor (dalam kebuk ISS yang sepatutnya hening bak kata Dr David “I love the humming up here”).

Untuk LIFE, walaupun ia membawa kita ke lokasi di stesen angkasa lepas, namun, kita tak disajikan pengalaman ‘space walking’ atau bersiar-siar dalam ‘probe’ di luar ISS. Berbeza dengan Gravity.

Lakonan Ryan pastilah mencuit hati kita, lagi-lagi bila lagi 5 pelakon lain kurang menyengat. Mungkin sengaja dibiarkan begitu, kerana yang menggerunkan dan lebih menyengat adalah Calvin yang mereka jemput masuk ke ISS.

Detail pada CGI filem ini buat kita benar-benar percaya bahawa Calvin yang ‘savage’ itu memang wujud di angkasa sana.

Dan, kita menjerit kepada diri sendiri, “Hentikan Projek NASA di angkasa. SEGERA. Jangan sengaja menjolok sarang tebuan, bangkitkan raksasa!”

“We were better off alone”
“Be careful what we search for”

Rating: 8/10
Ditulis oleh: Thaaqhib Mohammed – panel penulis tetap Movie Addict

Advertisements