17759948_1808995456087613_8109662362180215809_n

Mr. Hurt (2017)
[Comedy, Romance]
Pengarah: Ittisak Eusunthornwattana
Tarikh Tayang: 6 April 2017
Edaran: GSC Movies
Detik kita mendengar suara ‘voiceover’ Sunny Suwanmethanon di permulaan filem Mr.Hurt terus teringatkan filem lakonannya dua tahun sebelum itu, Heart Attack (2015). Membandingkan kedua filem itu tak dapat dielakkan kerana selain diterajui aktor yang sama, kedua filem pun bergerak dengan suara ‘narrator’ watak lelaki utama bercerita tentang pengalaman yang dilalui. Keduanya berdurasi lebih dari 2 jam, namun sayang apa yang unik, yang pernah kita suka dan gemar dari Heart Attack tidak ada dalam filem Mr. Hurt ini.

Dalam Mr.Hurt, Sunny Suwanmethanon ialah Don Sri-Chang, encik luka. Hatinya luka kerana patah cinta, tanganya luka kerana bergaduh di bar. Karier sebagai pemain tennis professional mula tergugat, lalu si bapa merangkap jurulatih peribadi pindahkan dia dari rumah Bangkok ke Pattaya, tempat mereka pernah tinggal dulu. Sewaktu di Pattaya Don bertemu semula dengan Dew, kawan perempuan zaman sekolah rendah yang disangka dah meninggal dunia dan merupakan sumber motivasi Don untuk menjadi atlit tennis professional.

Filem Heart Attack dahulu terasa jujur, dekat dengan realiti orang kebanyakan. Rasa Thai nya tulen, seolah kita berkunjung ke Bangkok dan melihat secara dekat hidup warga kota itu. Elemen sebegitu tidak dapat dirasai menerusi kisah hidup selebriti dalam filem Mr.Hurt ini. Pun begitu resipi komedi tipikal Thai kegemaran ramai masih dihidangkan, dan mungkin inilah saja satu-satunya kekuatan filem ni. Ceritanya sederhana, namun komedinya tetap memikat. Paling diingati ialah babak menghadiri majlis perkahwinan, yang sedikit sebanyak mungkin mengingatkan kita pada adegan kenduri dalam filem Dunia Baru the Movie. Buat peminat filem 4bhia/Pee Mak pastinya akan menghargai kehadiran aktor komedi Pongsatorn Jongwilak yang sinonim dengan watak Puak menerusi dua filem tersebut.

Cliche penyakit kronik yang muncul di pertiga akhir filem ni buatkan saya ‘rolling eye’ dan hampir nak jerit ‘lame!’. Bahagian ini ada sedikit persamaan dengan filem Hindi Ae Dil Hai Muskil (2015) dari tahun lalu. Kedua filem mengetengahkan ‘hero’ yang merana kerana putus cinta, dan kedua filem pun si ‘hero’ bertemu gadis yang ‘free spirit’ sifatnya. Tapi Ae Dil Hai Muskil menangani cliche penyakit jauh lebih cemerlang, menjadikan ia tak terasa cliche lagi. Konflik dan dramatik seputar hal penyakit kronik tu juga lebih bagus. Bagaimanapun Mr Hurt ada twist yang menarik, menjadikan rasa tawar cliche itu kembali berperisa, sedang kita mula membayangkan endingnya, muncul lagi twist lain, memuaskan!

Suatu ketika dulu saya agak kurang menggemari aktor Sunny Suwanmethanon ni, lakonannya agak statik. Mungkin juga kerana penangan filem Thai pertama yang saya tonton yang ada penglibatan beliau terlalu bosan sehingga saya meninggalkan panggung sebelum filem tamat. Namun sekarang dia banyak berubah, persembahan dia dalam filem Heart Attack dua tahun lalu dah cukup bagus, dan menerusi Mr, Hurt ini kita boleh lihat kepelbagaian ekspresi rasa yang subtle di wajahnya, tanpa perlu beraksi dramatik atau emosional.

Biarpun dengan cerita yang agak sederhana, saya masih mampu terhibur dengan Mr. Hurt kerana elemen komedinya. Ada juga beberapa bahagian disampaikan dengan puitis walaupun tidaklah seindah imej-imej puitis dalam filem Heart Attack.

Rating: 6/10
Ditulis oleh: Gaia – penulis jemputan Movie Addict

Advertisements