17796728_1808995336087625_4079619263415038846_n

Tokyo Sonata (2008)
[Drama]
Pengarah: Kiyoshi Kurosawa
Tarikh Tayang: 27 September 2008

SPOILER ALERT!

Saya lebih mengenali filem lama-lama Jepun berbanding Korea. Entah kenapa, kita seakan dibiarkan terdedah dengan filem Jepun kerana filem mereka lebih menyerlah sejak dari zaman filem hitam putihnya. Apa saja website filem antarabangsa tak ketinggalan menyebut filem-filem hebat sepanjang zaman dunia seperti Rashomon, Seven Samurai, Tokyo Story (sekadar menyebut beberapa judul). Dari situlah kita mengenali filem-filem Jepun yang terkenal dengan jatidiri mereka yang kuat. Mengapa Korea jadi perbandingan? Faham sendiri sajalah. Kurang pasti sejak bila filem Korea bangkit menakluki peminat filem termasuk di Malaysia tetapi ternyata selepas fenomena K-Pop, filem-filemnya terkena tempias populariti. Kembali kepada filem Jepun, mereka terkenal dengan filem drama keluarga selain anime dan filem bertema samurai. Filem drama keluarga ini jika kita perhatikan mempunyai satu style yang sama dan plot penceritaan yang mudah tapi memberi makna dalam kehidupan. Antaranya, Kabei (2009), Still Walking , After The Storm (2009), Our Little Sister (2015) dan hinggalah ke klasik The Only Son (1936) dan Floating Weeds (1970).

Mari kita jenguk, salah satu daripadanya, Tokyo Sonata (2008). Filem ini mengisahkan keluarga kelas-pertengahan yang terdiri daripada Ryūhei Sasaki dan isteri, Megumi berserta dua anak lelaki Takashi dan Kenji. Filem dimula dengan si ibu menutup pintu gelongsor dan mengelap titis hujan seakan tak mahu apa-apa perkara berlaku dalam keluarga dan sedaya melindungi ahli-ahli di dalamnya. Si suami hilang pekerjaan dan mula berlagak pergi kerja setiap pagi untuk mengaburi sang isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa (ini mengingatkan saya satu episod kepada siri Keluarga Iskandar). Sebagai seorang ketua, kita menetapkan bahawa perkara ini wajib berlaku dan normal di pandangan mata seisi rumah. Menjadi bebanan pula pada Megumi untuk menyimpan kewibawaan suaminya itu hanya sehingga pada satu tahap. Dalam pada itu, kedua anak-anak lelaki memberontak ingin melakukan keinginan yang dimahukan dalam hidup yang dihalangi oleh bapanya. Ini semua membuatkan Ryūhei tertekan dan bagaimana dia sanggup menyalin kulit persalinan pekerjaan pejabatnya kepada seragam cleaner di pusat membeli-belah untuk menyara keluarga. Menjadi persoalan di sini kedua anaknya masih belum tahu pekerjaan baru bapanya.

Si isteri pula ‘diberi peluang’ yang tidak disengajakan untuk keluar dari dunianya setelah dirompak, namun Kurosawa berpendapat itu tidak akan berlaku dan tempat sepatutnya masih di rumah yang dianggap syurga. Ini dikuatkan lagi apabila dalam satu kejadian yang menimpa semua, mereka pulang ke rumah dalam waktu yang hampir sama kecuali Takashi yang berada di US. Di sini amat menarik bahawa, Megumi tidak digambarkan keluar dari rumah dan mengecapi dunia luar selagi kejadian rompakan tidak berlaku. Jika adapun hanya melihat kereta di kedai kereta dan menghantar Takashi di lapangan terbang. Itu perubahan yang dilalui oleh sang ibu dan bapa. Kedua-dua watak anak lelaki juga melalui proses perubahan yang baik dalam diri masing-masing walaupun dalam kemelutan yang melanda.

Kurosawa tetap memupuk nilai-nilai dalam masyarakat Jepun. Jelas dalam babak Ryūhei Sasaki memulangkan wang yang dijumpai. Ini kita tidak hairan kerana selalu kita dengar kisah realiti barang yang tertinggal tidak diambil oleh sesiapa. Anak-anak dan suami mengucapkan terima kasih ibu/isteri mereka kerana makanan yang disediakan. Hal ini sangat jarang dilihat dalam filem-filem sekarang. Begitu juga, sukarelawan yang memberi makanan kepada gelandangan mengucapkan maaf kerana lambat memberi makanan dan terpaksa menunggu. Setiap filem mempunyai babak penting dan bakal diingati. Tidak terkecuali dalam Tokyo Sonata, babak akhir di mana semasa Kenji bermain piano tanpa sebarang komunikasi dengan penonton. Walaupun filem ini berjudul ‘sonata’, muzik bergema di saat akhir memberi harapan kepada cita-cita keluarga Ryūhei Sasaki.

Rating: 8/10
Ditulis oleh: Saiful K. – panel penulis tetap Movie Addict

Advertisements