Fabricated City adalah sebuah filem berkonsepkan fiksyen dan imaginasi tinggi tetapi malangnya gagal dalam membentuk dan menggabungkan elemen-elemen filem dengan baik. Sekiranya anda peminat filem aksi bermaterial maka filem ini bukanlah satu hidangan yang sesuai untuk anda.

Filem ini berkisahkan tentang seorang penganggur dan pecandu permainan video dalam talian bernama Kwon Yoo (Chang-wook Ji) yang patah semangat setelah dibuang dari pasukan taekwando kebangsaan. Dia dipaparkan seakan terpisah daripada dunia sebenar kerana kecenderungannya menghabiskan masa di kafe siber berbanding menjalani kehidupan normal dan menggalas tanggungjawab sebagai warganegara yang produktif. Segala kekurangannya di dunia sebenar ditebus dengan kehebatan dan kemasyhuran yang diraih di dunia dalam talian.

Nasib Kwon Yoo berubah dalam semalaman. Siapa sangka hanya dengan menjawab satu panggilan daripada sebuah telefon bimbit yang tertinggal dan sikap baik Kwon Yoo memulangkan semula telefon bimbit kepada tuannya boleh mengakibatkan dia ditangkap atas tuduhan merogol dan membunuh. Keliru dan tidak berdaya melawan bukti-bukti terlampau kukuh yang menentangnya, Kwon Yoo dihumban ke dalam penjara seumur hidup.

Berkongsi acuan dan premis dengan Oldboy, plot Fabricated City berkembang kepada misi mencari dalang yang memerangkap Kwon Yoo dan menyebabkan dia dipenjara. Dengan bantuan rakan-rakan pasukan permainan video yang selama ini mengikuti kesnya, bermulalah satu pengembaraan penyiasatan dan pencarian watak jahat yang misteri.

Saya sedikit mual dengan lambakan ‘twists and turns’ sepanjang filem ini kerana ianyanya berfungsi hanya sebagai alat dan justifikasi murah untuk menggerakkan plot. Selain itu, saya juga perasan akan ketiadaan sempadan kepada kapasiti kemahiran yang dimiliki oleh hampir kesemua watak dalam filem ini. Mereka seakan-akan boleh dan berupaya melakukan apa saja. Perjalanan babak aksi pula seperti terputus-putus,terburu-buru serta tidak terkawal.

Perincian watak juga longgar ditambah pula dengan mutu lakonan yang sederhana menyebabkan saya tidak dapat melabur emosi di dalam watak-watak yangdiketengahkan. Itu sebabnya mengapa saya berasa kosong terhadap musibah mahupun kejayaan Kwon Yoo. Saya juga tidak dapat menyemat rasa benci dan marah kepada watak jahat kerana karektornya yang lemah. Semangat keakraban antara rakan pasukan pula tidak ketara dek kerana pembangunan watak sokongan yang terbantut.Saya bahagikan pengalaman visual filem ini pula kepada dua: pertama, visual yang mengagumkan dan berkesan untuk babak permainan video serta paparan komputer yang canggih dan kedua, visual standard yang dicacatkan oleh gaya kerja kamera yang melampau. Tentang skrip dan dialog pula tidak dapat saya ulas kerana hanya bergantung kepada sarikata yang mungkin tidak dapat diterjemah dengan baik, adil dan berkesan daripada bahasa asal.

Namun begitu, saya harus berikan kredit kepada Fabricated City di atas kritikan terhadap status sosial, perbezaan jurang antara kaya dan miskin serta kekebalan orang kaya daripada undang-undang. Itu adalah jawapan kenapa Kwon Yoo yang lazimnya pemalas sanggup menapak jauh untuk memulangkan telefon bimbit.Filem ini saya rekodkan sebagai satu obsesi terhadap stail dan efek visual dan jenayah kompromi terhadap elemen cerita sehingga menjejaskan potensinya untuk menjadi lebih baik. Sekiranya sutradara Park lebih mencuba menyeimbangkan antara keduanya, saya percaya bahawa Fabricated City berupaya jadi satu lagi produk ‘Korean New Wave’ yang hebat.

Rating: 4/10

Ditulis oleh: Hafiz Hassan – panel penulis tetap Movie Addict

image

Fabricated City (2017)
Genre: Aksi
Pengarah: Kwang-Hyun Park
Pengedar: Sony Pictures
Tarikh Tayang: 20 April 2017

Advertisements