Bagi sesiapa yang pernah dengar akan duo komedi Key & Peele, anda pasti mengenali salah seorang daripada duo tersebut, Jordan Peele. Dalam siri TV mereka di Comedy Central, tema utama rancangan tersebut ialah masalah prejudis oleh orang berkulit putih terhadap yang berkulit hitam atau sesama kulit hitam sendiri. Kali ni, tema tersebut turut dibawa ke debut pengarahan Jordan Peele ini, tapi apa yang mengejutkan semua orang ialah genre yang dipilih; seram! Berlainan dengan kerjanya dalam rancangan tu serta filem Keanu yang bergenre aksi komedi (dalam Keanu, dia berlakon dan hanya menulis skrip, bukan mengarah)!

Begini premisnya: Chris Washington (Daniel Kaluuya), seorang jurugambar dan teman wanitanya Rose Armitage (Allison Williams) merupakan pasangan berlainan kaum yang sedang dilamun cinta. Pada suatu hari, Rose berkeputusan untuk bersama-sama Chris berjumpa dengan keluarganya di kejiranan mereka dan disambut baik. Lama-kelamaan, Chris rasa tak sedap hati apabila dia rasa seperti dipandang pelik oleh keluarga Armitage, sahabat handai keluarga tersebut dan rakan sebangsanya yang turut hadir dalam satu majlis keramaian tapi berkelakuan sangat aneh. Seperti ada udang di sebalik batu dan rasa dia perlu… GET OUT dari kejiranan tu sebelum semuanya terlambat.

Sebenarnya tak berapa janggal pun bila saya tahu Jordan Peele mengarah filem macam ni, sebab rancangan Key & Peele sendiri pernah parodi filem seram dan agak menjadi elemen seramnya, tapi apa yang ‘power’ ialah majoriti filem ni lebih mengarah kepada seram yang buat bulu roma meremang tapi masih menerapkan elemen satira daripada kerja komedinya! Entah macam mana Jordan Peele berjaya jumpa keseimbangan tu dan begitu yakin mengarah filem pertama arahannya ni. Saya bukanlah peminat filem seram, jadi saya tak berapa nampak homajnya kepada filem seram sebelum ni (mungkin homaj paling ketara saya nampak pun ialah arketaip yang selalu dipakai dalam filem seram Amerika Syarikat, iaitu “no-nonsense black guy”), tapi disebabkan keyakinan Jordan Peele dalam menyusun skrip, shot dan ‘pacing’, saya berjaya gagahkan diri dan terhibur dengan naskhah seramnya yang sarat dengan komentar sosial terhadap kemelut warga kulit putih dan kulit hitam yang memang tepat dan mengena sasarannya!

Dari sudut lakonannya, Daniel Kaluuya sebagai Chris memang cemerlang dalam menjadi seorang warga berkulit hitam yang peka terhadap sekelilingnya, bukan macam si kulit putih yang suka berpura-pura. Allison Williams juga hebat dan berjaya buat saya terus berubah perasaan terhadap perwatakan Rose semakin filem ni hampir ke penghujung. Watak-watak pembantu yang lain? Mereka memang berjaya mengikut kehendak skrip iaitu hidup dalam kepura-puraan. Akhir sekali, tak lupa kepada Lil Rel Howery sebagai Rod, rakan Chris Washington yang benar-benar menghidupkan arketaip “no-nonsense black guy” dan juga sumber komedi yang jujur tapi masih menghiburkan serta tak merosakkan mood seram filem ni.

Bagi menutup ulasan ni, sekali lagi saya nak katakan: terkedu sungguh saya dengan filem ni. Bukan sekadar menggunakan namanya yang berasal daripada bidang lain dalam dunia hiburan, Jordan Peele berjaya mengukuhkan namanya sebagai pembikin filem yang mempunyai masa depan yang cerah dalam mengarah dan menulis pelbagai jenis filem beridea asli yang menarik, bukan sekadar genre seram dan komedi sahaja bagi Hollywood. Get Out ternyata bukan saja amat menghiburkan, tapi ia sangat relevan dengan senario perkauman sekarang di nun Amerika sana dan secara halus sebenarnya boleh diambil iktibar oleh rakyat Malaysia. Cara Jordan Peele kedepankan isu ni menarik disebabkan gaya pengarahannya macam dah lama mengarah filem. Saya akan terus menunggu karyanya selepas ni! Saya SANGAT MENGESYORKAN anda menonton filem ni, walaupun anda bukanlah peminat filem seram!

Filem ni telah mula ditayangkan sejak 20 April lepas di Malaysia. Jangan lepaskan peluang menonton filem ni di layar perak sementara masa masih ada!

Rating: 10/10

Ditulis oleh: Iki Ali – panel penulis tetap Movie Addict

image

Get Out (2017)
Genre: Horror, Thriller
Pengarah: Jordan Peele
Pengedar: United International Pictures
Tarikh Tayang: 20 April 2017